OGOS 2021

GPS Hormati Keputusan Muhyiddin


KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghormati keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri bersama-sama seluruh anggota Kabinet berkuat kuasa hari ini. 

Ketua Whip GPS yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datò Sri Fadillah Yusof berkata, keputusan itu adalah berlandaskan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan selepas kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“GPS menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah berkenan supaya Tan Sri Muhyiddin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik. Kita menjunjung Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin telah melakukan yang terbaik terutama dalam menangani penularan pandemik Covid-19 di negara ini termasuk dalam mempercepatkan program imunisasi kebangsaan, dengan ia sudahpun menampakkan hasil. 

“Namun saya agak terkilan di sebalik komitmen padu dan kesungguhan Kerajaan PN dalam menangani pandemik dan membantu rakyat, Perdana Menteri Kelapan itu terpaksa berdepan tekanan politik perebutan kuasa, yang menyebabkan beliau terpaksa mengambil keputusan untuk berundur,” katanya.

Fadillah menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin yang telah memberi kepercayaan kepadanya untuk memikul amanah sebagai Menteri Kanan Infrastruktur dan menerajui Kementerian Kerja Raya sejak 10 Mac 2020 sehingga 16 Ogos 2021. 

“Sepanjang menerajui Kementerian Kerja Raya buat kali kedua (10 Mac 2020– 16 Ogos 2021) dan pada kali pertama ( 2013 – 2018 ) saya telah berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin demi kesejahteraan infra rakyat dan negara,” ujarnya.

Beliau berharap, sesiapa sahaja Menteri Kerja Raya yang akan dilantik selepas ini akan meneruskan segala projek yang telah diluluskan dan dirancang demi kesejahteraan infra rakyat, seperti mana kerajaan PN meneruskan semua projek yang telah diluluskan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan sebelum ini.

“Kita tidak seharusnya menjadikan rakyat sebagai mangsa akibat krisis politik berpanjangan dan kekerapan pertukaran kerajaan. Apa sahaja projek yang dijanjikan kepada rakyat demi kesejahteraan rakyat perlu diteruskan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua warga Kementerian Kerja Raya dan agensi-agensi di bawahnya yang telah memberikan kerjasama baik kepada saya sepanjang saya menerajui kementerian itu. 

“Saya juga memohon maaf jika ada sebarang kekurangan saya sepanjang menjawat portfolio berkenaan dan saya mendoakan agar Kementerian Kerja Raya terus maju jaya dan cemerlang di bawah kepimpinan baharu kelak,” ujarnya lagi.

Sumber dari : Jiwa Bakti